Aerobik membawa maksud 'dengan oksigen' manakala senaman aerobik ini boleh didefinisikan sebagai jangka masa panjang melakukan rutin senaman yang bermula dari impak rendah, sederhana hingga maksima sebelum disudahi dengan irama perlahan kembali. Keseluruhan rutin senaman ini melibatkan penggunaan keseluruhan otot tubuh seperti kaki, tangan, belakang tubuh dan peha dalam dan luar. Maksud jangka masa panjang dalam bidang aerobik ini adalah apabila mencapai tempoh impak tinggi itu, cuba kekalkan untuk tempoh 20 minit atau lebih lama lagi. Inilah yang dikatakan melakukan gerakan dan mengekalkan sasaran degup jantung.
Senaman aerobik ini mula diperkenalkan pada tahun 1970 di mana pengasasnya Dr. Kenneth H. Cooper mereka gerak senam ini bertujuan untuk memperbaiki tahap fizikal individu serta memperbaiki fungsi sistem kardiovaskular. Matlamat setiap gerakan di dalam aerobik adalah untuk membantu tubuh menyerap dan mengangkut oksigen ke segenap tubuh dengan lebih berkesan. Ada pelbagai jenis senaman berbentuk aerobik ini dan tempoh waktu bagi setiap kategori juga berbeza. Dr. Cooper yang juga bekas Leftenan Kolonel Tentera Udara Amerika Syarikat ini telah menulis 18 buah buku tentang manfaat dan teknik aerobik yang sesuai malah telah dikenali sebagai 'Bapa Aerobik' di kalangan penggiat kecergasan seluruh dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan